Wednesday, June 6, 2007

Kesantunan berbahasa

Apakah erti kesantunan?

Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi. Selain itu, kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).

Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar.

Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosio budaya msayarakatnya yang berpegang pada adapt resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti. Hal ini tergambar dalam perbilangan adat yang berbunyi:

“Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”.

Jadi, konsep kesantunan tidak lengkap jika perbincangannya terbatas kepada aspek berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keihklasan. Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti menggambarkan keihklasannya. Manusia boleh bertopeng dengan pelbagai wajah untuk mencapai hasratnya, sedangkan hakikatnya tiada sesiapa yang tahu.


Nilai dan Kesantunan dalam Masyarakat Melayu

Nilai merujuk kepada sesuatu yang kompleks tetapi berpola dan berprinsip yang memberikan arahan dan menjadi petunjuk kepada perlakuan dan pemiikiran manusia dalam mengatasi masalah (Kluckhon dan Strodtbeck (1961). Nilai menjadi ukuran dan pegangan tentang baik buruk atau cantik hodoh sesuatu perlakuan berasaskan kelaziman atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat (Wan Abdul Kadir, 2000). Misalnya, kita berasa janggal apabila mendengar suami isteri mengungkapkan kata panggilan “aku” dan “kamu” dalam perbualan mereka. Perlakuan yang demikian dianggap tidak santun.

Jadi, nilai dan kesantunan mempunyai pertalian yang sangat erat. Seseorang itu dianggap tidak sopan dan tidak mengamalkan nilai yang baik apabila bercakap menggunakan bahasa yang kasar atau tidak tahu meletakkan dirinya dalam sesuatu majlis. Ketidaksopanan dan kerendahan nilai perlakuan dapat digambarkan dalam ungkapan berikut:

Ketika orang diam
Aku bersorak
Ketika orang duduk aku berdiri
Ketika orang memberi
Aku meminta
Ketika orang bekerja
Aku terlena
Ketika orang dipuncak
Aku masih merangkak.

Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. Sesunguhnya, orang yang santun ialah orang yang tahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.

4 Kesantunan Bahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran Komsas

Insan yang seimbang daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipercayai akan dapat dilahirkan melalui pendidikan bahasa dan kesusasteraan. Menyedari hakikiat ini, maka Kementerian Pelajaran Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia pada waktu itu) mewajibkan semua pelajar sekolah menengah mempelajari kesusasteraan yang diserapkan melalui mata pelajaran Bahasa Melayu dengan nama Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas). Pembelajaran Komsas bermula pada tahun 2000 untuk pelajar tingkatan 1 dan 4, manakala pada tahun 2001 semua pelajar sekolah menengah daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 diajarkan Komsas.

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002), menyatakan objektifnya dengan jelas. Antara objektifnya adalah untuk melahirkan pelajar yang dapat:

· melibatkan diri dalam interaksi sosial melaui perbualan, perbincangan, dan penulisan untuk menjalin serta mengeratkan hubungan, dan berurus untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan;
· menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik, dan perasaan cinta akan negara.

Keupayaan pelajar berinteraksi dengan baik sama ada secara lisan atau bertulis memperlihatkan aspek kesantunan berbahasa mereka. Pelajar harus faham dan sedar akan kedudukan diri mereka apabila berkomunikasi dengan pihak lain. Mereka juga perlu sedar akan tujuan, masa, tempat, dan dengan siapa mereka berkomunikasi. Hal ini akan terjelma melalui aktiviti-aktiviti kebahasaan seperti yang digariskan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah. Sebagai contoh, beberapa kemahiran berbahasa dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu menyarankan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada kesantunan berbahasa. Antaranya termasuklah:

1.1 Aras 1 (i) : Berbual dengan keluarga menggunakan sebutan, intonasi, kata dan ungkapan yang sesuai dan mengemukakan idea yang relevan dengan topik.
1.1 Aras 1(ii): Memperkenalkan diri kepada seseorang dan memperkenalkan seseorang kepada ahli yang lain dengan mesra dan santun.
1.1 Aras 1(iii): Memahami dan menentukan gelaran atau panggilan yang sesuai bagi seseorang.

Untuk merealisasikan pencapaian objektif ini, pemilihan bahan pengajaran adalah penting. Guru harus bijak memanipulasikan bahan pengajaran yang ada, khususnya teks Komsas. Dalam teks Komsas banyak terdapat unsur nilai dan kesantunan berbahasa. Jadi pengajaran dan pembelajaran Komsas harus bersepadu dengan pengajaran kemahiran bahasa yang lain seperti mendengar dan bertutur, memabaca dan memahami, dan menulis.

Sebagai contoh, marilah kita sama-sama meneliti petikan yang berikut ini:

“Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.” Begitu kata-kata ibunya membujuk dia ke sekolah.
“Kau dah pulang Ramli? Bukalah kasut itu. Letakkan baik-baik di tempat letak kasut. Eh, masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah,” kata ibunya di muka pintu.
Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan, akan tetapi wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu disebalik senyumannya. Dia tahu bahawa ibunya bertanggugjawab terhadap dirinya dan adik-adiknya juga.
Dia meletakkan kasutnya dengan baik di atas tempat letak kasut yang diperbuat daripada tong. Tempat itu dibuat oleh ibunya sendiri. Kasut adik-adik dan ibunya teratur rapi. Ternyata ibunya amat mementingkan kebersihan dan kesempurnaan.
“Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah. Dia baik kat Ramli.”
Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasi yang disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu.
Dia menoleh ke arah adik-adiknya yang sedang makan dengan penuh selera. Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai.
“Rizal nak nasi lagi?” tanya Ramli.
“Tak nak, bang. Ijai dah kenyang,” jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama timang-timangan.
(Dipetik dan disesuaikan daripada Sehijau Warna Daun, hlm 52-54)


Berdasarkan petikan di atas, kita dapat meneliti kesantunan dalam dua bentuk perlakuan, iaitu perlakuan bahasa dan bukan perlakuan bahasa.

(a) Perlakuan bahasa

(i) Memberikan kata nasihat dalam bentuk pujukan
“Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.”
(ii) Kata-kata pujian
“…Eh, masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah,”
(iii) Kata panggilan yang sesuai
“Rizal nak nasi lagi?” tanya Ramli.
“Tak nak, bang. Ijai dah kenyang,” jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama timang-timangan.

(b) Bukan perlakuan bahasa

(i) Empati
Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan.

(ii) Air muka/ raut wajah
…wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu di sebalik senyumannya.

(iii) Menujukkan sikap bertanggungjawab
Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai.


Berdasarkan contoh petikan di atas, guru wajar memberikan penekanan kepada aspek kesantunan dengan menonjolkan aspek-aspek kesantunan yang terdapat dalam petikan. Hal ini perlu diterapkan secara menarik dan berkesan, dan bukan “dipaksakan”. Untuk mencapai matlamat ini, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar belajar kesantunan bukan dengan kata-kata, tetapi dengan rasa.

Penutup

Kesantunan perlu dipupuk dan disemaikan terhadap pelajar dari semasa ke semasa. Prosesnya sangat panjang dan tidak ada jalankan pintas. Oleh itu, sebagai guru, kita perlu memperkukuh iltizam setiap masa untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran kita secara menarik, berkesan dan bermakna. Sebagai renungan, telitilah kalimat ini:

Santunkah kita
Apabila berbicara mendabik dada
Apabila bercakap bohong belaka
Apabila diberi secebis kuasa tersalah guna
Apabila mengajar kepalang ajar
Apabila berjanji dimungkiri
Ada akal tidak berfikir
Ada Ilmu tanpa amal

Santunkah kita
Kita mencintai yang dicipta melupai Pencipta
Kita mencintai kehidupan melupai kematian
Kita mencintai kekayaan melupai perhitungan.

Harus diingat bahawa kesantunan merangkumi dua bentuk hubungan, iaitu hubungan yang baik antara manusia dengan manusia dan hubungan yang baik antara manusia dengan Pencipta. Keupayaan kita memelihara hubungan yang baik antara manusia dengan manusia semata-mata tidak bermakna kita telah mengamalkan kesantunan jika tidak disertai oleh amalan hubungan yang baik antara kita dengan Pencipta.